4,000 lelaki didera isteri mohon pertolongan
Dipetik dari utusan malaysia
21/02/2010 2:39am TAIPEI 21 Feb. - Lebih 4,000 lelaki di Taiwan mendapatkan pertolongan akibat didera isteri masing-masing tahun lalu, lapor Agensi Berita Pusat (CNA), semalam. CNA berkata, pada 2009, seramai 4,428 lelaki menghubungi talian utama penderaan yang disediakan Kementerian Dalam Negeri untuk meminta bantuan akibat didera isteri mereka, iaitu meningkat berbanding 1,325 yang dicatatkan tahun 2002. “Mereka ini menderita dari segi penderaan lisan atau fizikal dari isteri. “Puncanya segelintir wanita ini mempunyai pendapatan lebih tinggi berbanding suami, jadi mereka menguasai rumah tangga dan bertindak memaki-hamun atau memukul suami mereka,” kata pegawai kementerian itu, Chang Hsiu-yuan yang menguruskan keganasan rumah tangga seperti dipetik CNA. Hsiu-yuan turut berterima kasih kepada pihak yang menjalankan kempen bagi meningkatkan kesedaran masyarakat berhubung persamaan jantina yang mana semakin ramai lelaki bersedia melaporkan penderaan yang dilakukan isteri kepada mereka. Namun, dibandingkan dengan keganasan rumah tangga yang dilaporkan wanita, jumlah lelaki yang membuat aduan berhubung penderaan isteri terhadap mereka adalah amat sedikit. Dalam masyarakat Cina, lelaki dianggap ketua keluarga dan mana-mana suami yang dipukul isteri, kebiasaannya akan berdiam diri kerana bimbang mendapat malu. - Agensi